Cab On

Selamat Datang!!

SeigHail!!!!

Ahad, 10 Mei 2009

Amalan Jahiliyyah Disangka Ajaran Agama

Oleh : Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ruangan Tazkirah, Harakah.
Kesetiaan insan terhadap ALLAH swt diikat dengan sebuah perjanjian dua kalimah syahadah, dengan itu manusia seolah-olah seorang kontraktor yang telah menandatangani perjanjian untuk sesuatu tender bagi melaksanakan suatu projek yang besar. Kesempurnaan projek yang telah dipersetujui bergantung sejauh mana ia memenuhi syarat-syarat dan juga plan yang telah ditetapkan.
Dalam ertikata lain bahawa keimanan seseorang hanya akan diiktiraf oleh ALLAH apabila ia melaksanakan ikrar. Dengan melaksanakan segala peraturan yang ditetapkan di dalam syariat islam. Sekiranya perlaksanaan tidak memenuhi syarat rukun yang digariskan oleh syariat, bererti mereka tidak melaksanakan ikrar sebagaimana kontraktor yang melakukan kerja binaan tanpa merujuk kepada plan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Setiap orang mukmin bukan sahaja mereka menghayati kehendak kedua kalmah syahadah yang telah diikrarkan tapi juga mereka sentiasa membaharui ikrar disetiapkali mendirikan solat. Mereka bersumpah setia bahawa segala urusan kehidupan mereka samaada dalam urusan ibdah, siasah, muamalah, nikah kawin dan lain-lainnya. Hatta kepada perkara yang bersangkutan dengan mati, hubungan orang yang hidup dengan orang yang telah mati. Manusia berjanji akan menguruskannya menurut kehendak ALLAH yakni dengan mematuhi syariat ALLAH.
Jesteru itu dalam memperkatakan hal-hal yang berhubung dengan soal kematian iaitu penyelenggaraan dan hubungan dengan penghuni alam berzakh, maka manusia tidak perlu mengambil atau meniru tradisi dan budaya jahiliyyah. Segala kaifiat dan cara menguruskan jenazah telah dijelaskan oleh sunnah Nabi s.a.w.
Adalah sangat malang bagi masyarakat pak turut mereka sering melakukan perkara-perkara yang tidak mempunyai alasan Nas atau Dalil samaada dalil al-Quran atau sunnah. Mereka melakukan perkara yang bercanggah dengan petunjuk Rasulullah, mereka melakukan secara turun temurun, berdasarkan bahawa perkara itu dilakukan oleh ibu bapa dan nenek moyang mereka.
Terdapat orang yang berusaha dan membelanjakan wang yang banyak untuk menunjukkan bukti kasih sayang mereka terhadap ibu bapa mereka yang telah mati atau suami serta isteri yang meninggal dunia, ada diantara mereka mendirikan bangunan atau binaan dari batu mar-mar yang mahal lalu mereka menganggap bahawaitu bukti kasih sayang mereka.
Padahal binaan yang mereka dirikan itu tidak memberi sebarang erti kepada orang yang telah mati, ia bukan sahaja suatu perbuatan sia-sia yang membazir, malah perbuatan itu dianggap oleh islam sebagai perbuatan jahiliyyah.
Panduan
Islam telah menggariskan panduan yang sangat mudah bagi seorang anak, suami atau isteri yang hendak menyatakan rasa kasih sayang terhadap mereka yang telah berada di alam Barzakh itu dengan cara mendoakan mereka semoga ALLAH ampunkan dosanya, dihindarikan dari segala pancaroba dan huru hara di alam kubur. Mudah-mudahan ALLAH s.w.t. kurniakan ke atas ruhnya sepenuh rahmat agar tanah perkuburan itu menjadi tempat istirehat yang aman sebelum mereka dimasukkan ke dalam syrga ALLAH di akhirat kelak.
Pengarang kitab at-Tazkirah iaitu al-Qurtubi dengan jelas mengatakan bahawa diantara amalan jahiliyyah ialah mengadakan suatu himpunan beramai-ramai diperkuburan, di masjid atau di rumah dengan berzikir dan juga lain-lain bacaan, serta mengadakan jamuan makan minum dengan tujuan untuk orang mati, disebut orang sebagai kenduri Arwah. Dengan jelas perbuatan itu tiada Nas yang menjadi rujukannya dan tiada petunjuk sunnah yang menjadi ikutan.
Sesungguhnya ia adalah dari perbuatan jahiliyyah.
Kenyataan ini mungkin agak keras dan pahit boleh jadi suatu penjelasan yang mengejutkan terutama terhadap mereka yang mengamalkan perkara tersebut secara ikut-ikutan dan membuta tuli tanpa mengkaji dari sudut ilmiyah. Tetapi inilah hakikat Islam yang mesti diakui oleh penganutnya yang sedia kembali kepada al-Quran dan Sunnah.
Tidak dapat dinafikan bahawa amalan tersebut telah berakar umbi di dalam masyarakat melayu, sehingga sebahagian dari mereka menganggap bahawa amalan tersebut adalah merupakan amalan agama yang mesti dilakukan setiap kali berlaku kematian.
Elok juga dijelaskan di sini bahawa tidak ada manusia lebih mengasihi dan sayang terhadap orang lain yang mengatasi kasih-sayang Nabi s.a.w. terhadap umatnya. Carilah di dunia ini jika ada manusia yang lebih sayang terhadap orang lain atau terhadap ibu bapa mereka jika dibandingkan dengan kasih sayang Nabi terhadap umatnya. Walaupun Nabi terlalu sayang terhadap umatnya terutama terhadap para sahabatnya yang sentiasa membantu Nabi di dalam suasana damai dan perang namun Nabi tidak pernah melakukan majlis zikir atau tahlil untuk sahabat-sahabatnya r.a yang mati.
Orang yang paling sayang terhadap Nabi s.a.w. adalah para sahabatnya yang sentiasa berada di sisi Nabi siang dan malam, namun pernahkah terdapat para sahabat berhimpun dan berzikir dan bertahlil untuk Nabi s.a.w. ? jika perkara itu tidak dilakukan oleh Nabi dan juga para sahabat maka dari manakah punca amalan itu diambil?.
Sejarah menunjukkan bahawa sebelum Islam datang ke tanah melayu, orang-orang melayu telah menganut agama hindu. Jesteru itu terdapat banyak tradisi dan budaya hindu yang masih terdapat dalam amalan orang melayu.
Contohnya apabila orang Islam mengadakan upacara nikah, mereka lakukan menurut islam berdasarkan rukun nikah seperti yang ditetapkan oleh syariat. Tapi selepas itu mereka mengadakan upacara persandingan dengan upacara menepung tawar, menabur beras kunyit dan sebagainya, sedangkan persandingan dan segala tradisi tersebut adalah dari kebudayaan hindu.
Demikianlah samaada disedari atau tidak sebahagian besar orang melayu telah mencampur adukkan Islam dan kebudayaan hindu dalam urusan nikah kahwin adalah menjadi perkara lumrah dalam masyarakat melayu. Maka demikian juga orang melayu telah secara sedar atau tidak telah mengambil tradisi jahiliyyah dalam pengurusan mayat.
Apa yang paling mendukacitakan, mereka menganggap amalan tersebut sebahagian dari amalan Islam, padahal Rasulullah sa.w. tidak pernah menunjukkan contoh seperti itu dalam sunnahnya.
HANTAR JAMUAN & BANTUAN KEPADA KELUARGA SI MATI
Ahmad bin Hambal rahimahullah berpendapat bahawa mengadakan jamuan untuk mayat (kenduri arwah) dan juga membaca al-Quran di sekeliling mayat tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w terhadap para sahabat yang meninggal dunia. Begitu juga sebaliknya, para sahabat tidak pernah membacakan al-Quran untuk jenazah Rasulullah s.a.w ketika Rasulullah s.a.w wafat. Oleh yang demikian perbuatan tersebut disifatkan oleh Ahmad bin Hambal sebagai perbuatan Jahilliah.
Oleh yang demikian, apakah yang mendorong sesetengah orang [peny: termasuk ahli Jamaah Islam] mengadakan amalan yang tidak bersumberkan dari ajaran Rasulullah s.a.w? Tidak lain kerana mereka beranggapan bahawa mengadakan bacaan ayat-ayat al-Quran di sekeliling mayat dan juga mengadakan jamuan (kenduri arwah) itu dianggap perkara baik.
Sesungguhnya baik buruknya sesuatu amalan itu bukanlah berdasarkan ukuran sendiri, tetapi segala bentuk ibadah itu mestilah mempunyai asas yang kukuh bersumberkan kepada syariat Allah SWT. Ia hanya dianggap baik jika yang mengadakan syariat iaitu Allah SWT sendiri dan juga Rasul-Nya yang mengatakan baik, jika tidak, maka ia akan menjadi sebaliknya.
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Isna’ull Aall Ja’farin to’aman yang bermaksud: “Hendaklah kamu (para sahabat) mengadakan (menghantar) makanan untuk keluarga Ja’far. Rasulullah s.a.w bersabda demikian ketika Ja’far bin Abu Talib, sepupu Nabi s.a.w syahid di dalam satu peperangan.
Hadis tersebut dengan jelas menganjurkan supaya orang ramai bersimpati kepada balu dan juga keluarga si mati, dengan menghantar makanan ke rumah keluarga Ja’far yang sedang bersedih di atas kematian Ja’far bin Abu Talib itu. Adalah menjadi kewajipan jiran tetangga dan ahli masyarakat bukan sekadar mengucapkan ta’ziah dan turut merasai sedih di atas kematian tersebut, tetapi turut meringankan beban tanggungan balu dan keluarga tersebut yang dalam kesukaran baru ditinggalkan oleh suami dan bapa-bapa mereka.
Dalam keadaan bersedih disebabkan kematian itu, adalah tidak wajar mereka pula terpaksa mengadakan jamuan untuk jiran tetangga dan anggota masyarakat, apatah lagi sesetengahnya terpaksa menyediakan wang upah untuk sembahyang jenazah. Ia bukan sahaja membebankan keluarga berkenaan tetapi ini seolah-olah ‘sudah jatuh ditimpa tangga’, sudahlah mereka kehilangan seseorang dalam keluarganya, ditambah pula dengan beban mengadakan jamuan untuk orang ramai.
[Peny: Apatah lagi jika simati dan warisnya telah banyak habis wang membiayai perubatan semasa sakitnya. Lebih beban lagi jika ia mengidap penyakit kronik atau kematian mengejut , wang adalah masalah utama]
Sabda Nabi s.a.w itu mengandungi pengajaran tanggungjawab sosial yang menganjurkan setiap anggota masyarakat mempunyai rasa simpati untuk membantu meringankan beban. Membantu mereka dengan menghantar makanan serta lauk pauk untuk keluarga mereka kerana dalam masa bersedih itu mungkin mereka tidak terdaya untuk memasak makanan atau disebabkan sibuk dengan urusan jenazah sehingga mereka tidak ada masa untuk menyediakan makanan bagi keluarganya.
Dalam keadaan demikian apabila jiran tetangga atau anggota masyarakat menghantar makanan ataupun duit ringgit, sudah tentu ia dapat menghiburkan keadaan keluarga yang sedang bersedih dan juga membantu mereka pada saat-saat mereka memerlukan simpati.
Sesungguhnya apabila seorang ketua keluarga meninggal dunia, bererti semua harta yang ditinggalkan adalah menjadi hak semua waris yang terlibat. Hatta beras yang ada di dapur, ayam itik di dalam reban, kambing lembu yang sedang tertambat dan sebagainya bukan lagi kepunyaan si mati. Jika mereka bertanak nasi dan juga menyembelih ayam, itik atau kambing, lembu untuk jamuan (kenduri arwah), beerti mereka telah menggunakan yang belum difaraidkan kepada para waris.
Mengguna harta waris bererti mengambil hak orang lain, ia tidak wajar sekalipun bagi tujuan mengadakan jamuan (kenduri arwah), maka ia termasuk dalam kategori mengguna harta orang lain tanpa izin. Yang demikian itu akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, sedangkan setiap mukmin mesti berusaha untuk menghindari perkara-perkara yang boleh menimbulkan halangan di akhirat kelak.
Lebih-lebih lagi jika di dalam keluarga itu ada anak yatim, akan mendatangkan akibat yang lebih berat kerana sudah tentu di dalam harta yang ditinggalkan oleh si mati itu termasuk juga harta kepunyaan anak yatim tersebut.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “ Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api (neraka) yang menyala-nyala.” (Surah an-Nisa: 10).
Ini bererti makanan dari harta anak yatim yang dihidangkan di majlis jamuan (kenduri arwah) itu, walaupun pada zahirnya yang disuap itu nasi dan lauk-pauk, tetapi hakikatnya mereka telah menyuap api neraka ke dalam perutnya. Sayangnya mereka tidak sedar atau tidak mahu mengambil tahu dan faham keadaan sebenarnya [peny: kerana taksub ulama dan kitab tertentu].
Oleh yang demikian, al-Qurtubi dalam kitab At-Tazkirah berpesan dan memberi peringatan kepada setiap ketua keluarga, iaitu para suami atau ibu bapa agar melarang kaum keluarga, anak isteri mereka memakan makanan di majlis jamuan (kenduri arwah), kerana menghindar dari memakan harta pusaka yang belum dibahagi kepada para warisnya. Lebih-lebih lagi jika di dalam waris itu terdapat anak-anak yatim, adalah lebih besar lagi bahayanya di akhirat jika memakan harta anak-anak yatim dengan cara yang tidak diizinkan oleh syarak.
Sudah sampai waktunya umat Islam memikirkan tentang perlunya menghayati maksud hadis Nabi s.a.w seperti yang diterangkan di atas itu, ia bukan sekadar untuk membetulkan keadaan songsang daripada terus berlaku di dalam masyarakat Islam, di mana keluarga si mati yang sedang bersedih itu dibebani keyakinan yang menyusahkan diri, terpaksa membuang harta untuk mengadakan jamuan yang tidak dituntut oleh Islam.
Sebaliknya hadis Nabi s.a.w itu mendidik umatnya supaya bersimpati kepada keluarga si mati dengan menghantar makanan ataupun wang ringgit bagi membantu meringankan beban kesedihan yang sedang ditanggung oleh keluarga si mati. Semoga dengan panduan hadis Nabi s.a.w itu akan mengasuh kita meninggalkan sikap menyusahkan dan membebankan keluarga si mati kerana tidak menasihati mereka supaya meninggalkan amalan-amalan mengadakan jamuan (kenduri arwah) yang tidak diperintah oleh agama, bahkan amalan tersebut dicela oleh Islam.
[Penyalin: Amat malang lagi jika yang melakukan amalan ini ialah pendokong gerakan Islam terutama alim ulamanya sendiri. Sepatutnya merekalah yang menghidupkan sunnah Nabi dalam situasi kematian. Sepanjang pengkajian penyalin selama 25 tahun di beberapa buah Negeri, Parti Islam Se Malaysia (PAS) tidak membenteras amalan kenduri arwah malah markas PAS setengah tempat boleh dilabel sebagai Markas Kenduri Arwah. Ada yang sanggup edar risalah dan borang khas terutama menjelang Ramadhan untuk cari ahli buat Tahlil Arwah kepada ahli keluarga dengan bayaran tertentu. Nauzubillah ,mengapa kita meniru amalan Kristian seperti Surat Ampun Dosa. Kuliah Tuan Guru Nik Aziz yang mejelaskan Kenduri Arwah Amalan Jahiliah telah di GAM tidak diperjelaskan kepada ahli Jamaah dan masyarakat Islam kerana kepentingan politik. Sebaliknya banyak tokoh agama mengharuskan amalan Kenduri Arwah dalam ceramah atau penjelasan mereka melalui media massa. Malah ada yang mengatakan amalan kenduri arwah adalah adat amalan orang Melayu yang sesuai dengan Quran dan Sunnah, kalau beginilah kita bimbang suatu masa nanti mereka akan mengatakan wanita berseluar ketat, ber T shirt Body, bertudung adalah adat wanita Melayu Moden yang sesuai dengan Quran dan Sunnah bersama dibawah disalin dari beberapa sumber untuk rujukan saudara dan saudari].
FATWA-FATWA MUFTI EMPAT MAZHAB TENTANG KENDURI ARWAH
Seterusnya dinyatakan pula fatwa-fatwa daripada mufti-mufti 4 mazhab di Mekah sebagaimana yang tersebutkan dalam Iknatut Talibin [ 2:145-146].
Syed Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Mekah dari mazhab Syafi’i berkata ;”Ya ! Apa yang diperbuat orang, iaitu berkumpul di [rumah] sisi ahli mayat dan membuat [menyediakan] makanan[untuk orang-orang yang berkumpul itu] adalah dari bid’ah munkarah yang diberi pahala [kepada] ketua negeri atas menegahnya.” [I’natut Talibin 2: 145].
Seterusnya beliau menyatakan:”Dan tidak syak bahawa menegah manusia daripada bid’ah mungkar ini [kenduri arwah], bererti menghidupkan sunnah, mematikan bid’ah, membuka pintu kebajikan dan menutup pintu kejahatan, lantaran masyarakat terlalu memberatkan diri buat mengerjakan yang demikian, sehingga perbuatan menjadi haram”.[Ibid, hal 146].
Dalam kitab yang sama [ 2:146] juga disebutkan fatwa daripada Mufti Mazhab Hanafi sebagai berikut;”Ya ! Diberi pahala ketua negeri......atas melarang manusia daripada perkara-perkara yang masuk bilangan bid’ah yang jelek di sisi jumhur”.
Seterusnya disebutkan pula;”Telah menjawab seperti dua-dua jawapan itu [ jawapan Mufti mazhab Syafi’i dan mufti Mazhab Hanafi] oleh Mufti [Mazhab] Maliki dan mufti[ Mazhab] Hanbali.”[Iknatut Talibin 2: 146].
FATWA MUFTI MESIR
[Penyalin: Al Ustaz Syied Rajab, Mufti Negara Mesir pada tahun 1947/1366 menyiarkan fatwanya di akhbar Al Ahram menerangkan bahawa sambutan kematian itu adalah bid’ah yang sangat tercela yang tidak berasas dari Islam, Siaranya di Majalah Nuurul Islam keluaran Al Azhar di antara lain mengingatkan ummat Islam supaya meninggalkan adat ma’tam atau sambutan hari kematian yang sedang mencengkam jiwa ummat Islam dan agar kembali kepada pimpinan Ugama dan Syariat yang luhur.[Baca: Hashim Ghani: Urusan Jenazah Dalam Islam menurut As- Sunnah hal.75]
Kesimpulannya mengadakan kenduri arwah baik sebelum atau sesudah mayat dikebumikan samaada membilang hari ataupun tidak hukumnya adalah berkisar di antara bid’ah makruhah [makruh], bid’ah munkarah atau pun haram; sekali-kali tidak sunat. Begitu juga hukum mendatangi [hadir] majlis kenduri tersebut. Oleh itu berhati -hati dan takutlah kepada azab Allah sebelum membela dan mengamal tradisi Jahiliah ini.
Sekurang-kurangnya kenduri arwah itu bida’ah makruhah ataupun makruh hukumnya kerana perbuatan itu akan menambah kesusahan bagi keluarga simati itu;serta perbuatan itu juga merupakan peniruan atau penyerupaan perbuatan orang Jahiliah. Seringkali juga permasaman muka tidak bertegur-sapa atau perkelahian terjadi diantara ahli keluarga mayat dengan tetangganya kerana sesuatu ‘ kerenah’ ( perkara tak baik)yang timbul semasa mengadakan kenduri arwah itu. Dan bila ini benar terjadi maka hukumnya tidak lagi makruh tetapi sudah menjadi haram.
Adapun yang dikatakan makruh itu adalah sekiranya makanan atau belanja untuk kenduri itu diambil dari kepunyaan orang-orang yang melakukannya sendiri, yakni tidak diambil dari harta peniggalan simati, terutamanya sekiranya simati itu meninggalkan hutang ataupun anak yang mempunyai anak yang masih kecil. Juga kenduri itu tidak menimbulkan ‘ kerenah’ sebagaimana yang disebutkan di atas.
Sebaliknya jika belanja atau makanan untuk kenduri arwah itu diambil dari harta peninggalan simati yang mempunyai hutang atau yang mempunyai anak yang masih kecil ( anak yatim) atau yang masih belum dapat di dengar suaranya, atau perbuatan itu boleh menimbulkan perkara-perkara yang tidak baik atau ‘ kerenah’ seperti yang disebutkan diatas, maka dengan tIdak ragu-ragu lagi perbuatan itu menjadi haram.
APA KATA PENGARANG BUKU AGAMA
“Kaum kerabat, tetangga, sahabat handai-taulan dari ahli mayat hendaklah memberi makan kepada keluaga [ahli] mayat, kerana keadaan, mereka sedang dalam kekalutan belum sempat mengurus makanan mereka sendiri.
Sabda Rasulullah s.aw:
Dari Abdullah bin Ja’afar katanya: Tatkala datang khabar meninggalnya Ja’far ketika terbunuh. Rasulullah s.a.w. bersabda:”Buatkanlah olehmu makanan untuk keluarga Ja’far, kerana mereka sedang menderita kesusahan[kekalutan]”Riwayat lima orang ahli hadis terkecuali Nasai.
Inilah yang disyariatkan dalam agama Islam, bukan sebagaimana yang biasa dilakukan di Indonesia [Malaysia], semua tetangga, sahabat yang dekat atau yang jauh, keluarga, teman dan orang sekampung, semua itu, datang beramai-ramai berkumpul di rumah ahli mayat, untuk makan-makan dan ahli mayat terpaksa menyediakan makanan yang bermacam-macam, biarpun sampai menghabiskan harta peninggalan si mayat. Malahan kalau kurang, hartanya sendiri di habiskan pula. Orang-orang yang datang di tempat kematian itu, sepanjang hari tidak perlu berbelanja lagi, sudah cukup keperluannya di tanggung oleh yang kematian yang sedang bersedihan dan berduka-cita kehilangan anak atau bapak yang di cintainya: bahkan yang datang itupun beratus-ratus pula. Selain dari perayaan di hari matinya itu, diadakan pula ramai-ramai untuk makan-makan di hari ketiga dari hari meninggalnya, hari ke tujuh, ke sepuluh, empat puluh, seratus dan seterusnya. Kesedihan itu selalu di baharui [ dibangkit-bangkit ] dan kerugian selalu di tambah-tambah. Semua itu hukumnya haram, tidak diiizinkan oleh agama Islam yang maha suci, lebih-lebih kalau ahli mayat itu ada yang belum sampai umur [belum baligh]Sabda Rasulullah s.a.w:
Dari Jarir bin “Abdullah Al-Bajali katanya: “Berkumpul-kumpul pada ahli mayat serta membikin makanan-makanan sesudah mayat dikuburkan, kami anggap sebahagian dari meratap.”{sama hukumnya dengan meratap,iaitu haram].Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah.
Memang kalau kita renungkan lebih jauh serta kita pikirkan dengan pikiran yang sihat dan tenang tidak dipengaruhi oleh apapun juga, alangkah sedihnya ahli mayat, sesudah ia kehilangan anak, buah jantungnya atau kehilangan bapak pemegang kemudi hidup dan penghidupannya, hartanya di habiskan pula. Kalau tidak di ikutinya kehendak adat yang semacam itu, ia tercela di mata kaum adat yang berfikiran tidak sihat itu.” [Baca:H.Sulaiman Rasjid;Fiqih Islam hal.186-187,Attahiriyah Jakarta. Cet.ke 18].
Firman Allah bermaksud:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka ikutlah apa yang diturunkan oleh Allah: Mereka berkata, bahkan kami mengikut apa yang kami dapati datuk nenek kami.[Apakah mereka akan ikut] walaupun datuk nenek mereka itu tidak berakal sedikit pun dan tidak mendapat pertunjuk ? [Al-Baqarah :170].
“Kita ketahui juga bahawa masyarakat kita masih ramai membaca Al- Fatihah atau ayat-ayat Al Quran yang lain serta tahlil untuk dihadiahkan pahalanya kepada arwah si mati. Amalan ini sebenarnya tidak terdapat di dalam Al Quran dan Assunnah”.
“Kenduri Arwah dan doa serta tahlil yang dilakukan dalam masyarakat kita hari ini, juga kenduri arwah si mati pada hari kematian, kenduri tujuh hari selepas kematian, kenduri empat puluh hari dan seratus hari selepas kematian, adalah tiada diambil dari keterangan atau dari ajaran Islam yang sebenar. Tetapi amalan ini adalah campuran dengan pengaruh ajaran Hindu atau ajaran Budha yang kita warisi daripada datuk nenek kita sejak turun temurun dengan secara bertaqlid amalan mereka sahaja tanpa melihat dengan sumber ajaran Islam sebenar.”[Baca: Ahmad Yusuf Amin: TAQLID dan kesan-kesannya terhadap perkembangan fikiran dan Ilmu Pengetahuan. hal 63-64].
Oleh itu umat Islam yang meninggal amalan ini adalah umat Islam yang alim bukan jahil, bukan kedekut malah menghidup sunnah dan mematikan bid’ah. Umat Islam ini menurut amalan Nabi s.a.w, para sahabat, para Imam Mazhab dan semua pendapat ulama yang kembali kepada Al Quran dan Sunnah.
Hujah golongan ini jelas dan jujur berpandu Al Quran dan Hadis, ijma sahabat dan pendapat ulama semua mazhab ahlul sunnah wal jamaah . Manakala golongan sebaliknya cuba mencari dalil yang diada-adakan samaada yang dhaif ,salah kutip ,kata ulama serta dalil fikiran untuk mempertahan tradisi ‘kenduri arwah’ yang menguntungkan perut. Al Quran dan Hadis Sahih ditakwil supaya sesuai dengan amalan. Fatwa ulama yang jelas, tegas dan jujur disembunyikan demi menyunatkan amalan kenduri arwah. Ulama yang berani membenteras amalan kenduri arwah di label dan diberi gelaran Kaum Muda, Wahabbi dan Sesat.
Kenduri Arwah Dalam Kitab Kuning (pent.)
1. Bahrul Mazi ( Juzuk 7, m/s 130)
Telah berkata Sohibul Syamil dan lainnya adapun bermasak ahli mayat akan makanan dan dihimpunnya orang-orang memakannya maka kerja itu tiada dinaqal daripadanya sesuatu. Maka ialah bid’ah yang tiada elok , ini kalam sohibul Syamil. Dan mengambil dalil ia dengan hadis Jarir Bin Abdullah r.a katanya “ Adalah kami bilang dan kami kirakan berhimpun orang-orang kepada ahli mayat dan berhimpun memperbuat makanan kemudian daripada tanamnya mayat ialah daripada bilangan ratapan-ratapan” meriwayatkan dia oleh Ahmad Bin Hambal dan Ibn. Majah dengan Isnad yang Sohih.
2. Bughyatul Tullab : As Syeikh Daud Bin Abdullah Bin Idris al-Patani ( m/s 33 – 34)(Dan makruh) lagi bid’ah bagi orang yang kematian memperbuat makanan menyerukan segala manusia atas memakan dia sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah diadatkan kebanyakkan manusia (dan demikian lagi) makruh lagi bidah bagi segala orang yang diserukan dia memperkatakan seruannya.3. Furuk Masail : Terjemah Maulana As Syeikh Daud Bin Abdullah Patani (m/s 182 – 183)
Apakah hukumnya barang yang dikerjakan oleh ahli mayit daripada mempersembahkan makanan berhimpun manusia atasnya dahulu daripada ditanam mayat dan kemudian daripadanya dan menyembelih pada kubur dan demikian lagi yang dikerjakan manusia dengan barang yang dinamakan dia dengan kafarah dan daripada dikerjakan yakni berhimpun memberi makan awal malan kemudian daripada ditanam mayat dan 7 harinya dan 20 dan 40 dan apa yang demikian itu haramkah atau makruh atau harus ? (Maka dijawabnya ) Maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak.
4. Sabilal Muhtadin : Mohd Arshad B. Abd Al-Banjari ( m/s 87)
(Dan makruh) lagi bidah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukannya segala manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat (dan demikian lagi) makruh lagi bidah bagi segala mereka yang diserunya memperkenankan serunya.
5. Kasyfullilthami ‘an as ilatil anam : Zainul Abidin Ibn Mohd Al Patani (m/s 85)
Barang yang dikerjakan oleh ahli mayat daripada mempersembahkan makanan dan berhimpun manusia atasnya dahulu daripada tanam mayat dan kemudian daripadanya dan menyembelih pada kubur dan demikian lagi yang dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan dia dengan kifarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudia daripada ditanam mayat dan 7 hari dan 20 dan 40 dan difahamkan yang demikian itu seperti yang diperbuat oleh kebanyakkan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syarak.
6. Kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat: Keset keluaran Pustaka Al-Jihat Bangunan PAS Kota Bharu. No 38 dan 39. Yb. Menteri Besar berkata: semua amalan tersebut adalah amalan jahiliyah. Dan tidak sabit dengan nash.Semuga ahli perjuangan Islam di Malaysia menggambil petunjuk dari para Pemimpin mereka. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

We Will Rock U


.: Frenzy.Fm :.
Mesti Gempak Punya!~